KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menamatkan nasihat tsunami yang dikeluarkan susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 di Mindanao, Filipina, pagi tadi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 12 tengah hari ini, MET Malaysia memaklumkan nasihat tsunami yang dikeluarkan pada jam 8.36 pagi telah ditamatkan.
Terdahulu, MET Malaysia mengeluarkan nasihat tsunami susulan gempa bumi berkenaan dengan ombak tsunami dijangka melanda beberapa kawasan pantai di pantai timur Sabah, termasuk Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Bagaimanapun, hasil pemantauan menunjukkan keadaan adalah terkawal dan tiada ancaman lanjut direkodkan.
MET Malaysia berkata, penamatan nasihat itu merupakan maklumat terakhir yang dikeluarkan berhubung kejadian gempa bumi berkenaan melainkan terdapat perkembangan baharu atau maklumat tambahan pada masa akan datang.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih daripada agensi berkaitan dan tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kebimbangan awam. – Info X