Search

Perkhidmatan ‘Bas Pink’ dapat sambutan, 30,000 penumpang direkod sejak April

June 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 30,000 penumpang direkod menggunakan perkhidmatan Transformasi Perkhidmatan Bas Perhentian (SBST) atau Bas Pink di bandar raya ini sejak pelancarannya pada April lalu.

Bekas Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Vivian Wong Shir Yee, berkata ia adalah petunjuk positif mengenai penerimaan orang ramai terhadap pengangkutan awam itu.

“Sejak pelancaran perkhidmatan pada April 2026, lebih daripada 30,000 perjalanan penumpang telah direkodkan.

“Ini merupakan petunjuk positif bahawa rakyat Sabah mula menerima pengangkutan awam apabila perkhidmatan disediakan dengan lebih mudah diakses dan responsif terhadap keperluan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Sandakan itu, berkata saiz bas yang sesuai dengan laluan perkhidmatan itu mampu menggalakkan peningkatan jumlah penumpang dan memperbaiki keterhubungan antara komuniti.

Jelasnya, kejayaan SBST Sabah perlu diukur melalui peningkatan jumlah penumpang, peningkatan aksesibiliti, pengurangan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan penambahbaikan keseluruhan mobiliti rakyat Sabah.

“Seiring dengan pertambahan permintaan dan corak perjalanan yang semakin jelas, kerajaan kekal terbuka dan bersedia untuk menyesuaikan saiz armada, termasuk penggunaan bas yang lebih besar sekiranya dibenarkan oleh permintaan penumpang dan keperluan operasi.

“Saya yakin melalui penglibatan berterusan, maklum balas yang membina dan perancangan berasaskan bukti, program SBST akan terus berkembang menjadi sistem pengangkutan awam yang moden, cekap dan berpusatkan rakyat di Sabah,” katanya.

Vivian menjelaskan SBST Sabah direka berasaskan kajian, keperluan tempatan dan kelestarian jangka panjang, bukan diwujudkan dalam sekelip mata.

Jelasnya, ia adalah hasil perancangan, perundingan dan kajian bertahun-tahun yang bertujuan menangani cabaran unik pengangkutan awam di Sabah.

“Kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati hanya sekitar 20 peratus rakyat Sabah menggunakan pengangkutan awam.

“Kajian tersebut turut menekankan pergantungan tinggi terhadap kenderaan persendirian sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kesesakan lalu lintas, khususnya di kawasan bandar.

“Dapatan ini telah dikaji dengan teliti oleh LPKP Sabah sejak 2022 dan menjadi sebahagian daripada asas pembangunan rangka kerja SBST. Pelantikan pengendali SBST telah dilaksanakan melalui proses tender yang ketat dan kompetitif,” katanya.

Beliau berkata, objektif perkhidmatan itu adalah memastikan Sabah menerima perkhidmatan bas awam yang boleh dipercayai, mampan dan diurus secara profesional. – Info X