Search

PM umum peruntukan RM250,000 untuk sekolah di Sipitang

June 13, 2026

Info X Reporters

SIPITANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM250,000 untuk sekolah menengah di daerah ini, sempena lawatan kerjanya, di sini, pada Sabtu.

Katanya, walaupun peruntukan itu tidak diminta, beliau mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk menyalurkan segera kepada sekolah di daerah ini.

Peruntukan itu, katanya untuk membantu sekolah menambah kemudahan seperti peralatan komputer, peralatan tenaga pengajar dan membaiki kemudahan sekolah.

“Jadi, untuk sekolah ini penting saya nak pastikan, sekolah menengah Sipitang juga tidak ketinggalan. Tolong tengok bincang dengan PPD dan di Parlimen bagaimana boleh kita bantu tambahan, sama ada peralatan komputer, peralatan tenaga pengajar, baiki kemudahan sekolah, saya beri suku juta ringgit, RM250,000, segera kita lulus.

“Mintapun tidak, kerana saudara Hajiji (Ketua Menteri) baik, dia tahu saya ada tekanan kewangan tidak minta, tapi saya fikir dah datang Sipitang ini dan kenangkan syarikat elektrik baiknya, senyum lega hatinya, dan oleh itu kita luluskan dan ini segera melalui ICU.

“Pengarah ICU ada sini, wakil ICU ada ya, tolong selaraskan supaya dipercepatkan saya tidak mahu umum bulan Jun 2026, mula projek bulan Ogos 2027. Itu memang sikap lapuk, saya tidak mahu.

“Umum hari ini dua minggu harus ada wakil yang ke sekolah untuk tanya dah berjalan projek,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern Madani Link, di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri menyifatkan Projek Sabah Southern Madani Link sebagai projek penting dalam usaha meningkatkan kecekapan bekalan elektrik di Sabah.

Katanya, bekalan elektrik yang stabil penting bagi memenuhi keperluan rakyat, selain menarik kedatangan pelabur untuk meneroka peluang ekonomi yang dapat meningkatkan lagi pembangunan dan kemakmuran rakyat Sabah.

“Bila ada kemudahan ini, yang pertama, kemudahan rakyat baik. Yang kedua, jaminan harganya itu berpatutan dan munasabah dan berikutnya menjamin pertumbuhan ekonomi.

“Siapa nak datang melabur kalau elektrik pun sekejap gelap, sekejap terang, kemudian ada kawasan tidak ada elektrik dan tidak cukup untuk menjana industri.

“Sebab itu perkara ini kita anggap kritikal dan bila dikemukakan oleh Kerajaan Negeri, saya beritahu Kementerian Kewangan mesti beri tumpuan,” katanya.

Katanya, walaupun berdepan kekangan kewangan disebabkan situasi global yang mencabar, kerajaan harus bijak melihat dan menilai keperluan penting untuk rakyat dan pembangunan. – Info X