Search

Dua warga asing ditahan bersama bom ikan

June 14, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan dua lelaki warga asing meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa gagal apabila bot yang dinaiki mereka berjaya dipintas dalam operasi khas di perairan Pulau Karindingan, semalam.

Lebih membimbangkan, pemeriksaan terhadap bot berkenaan membawa kepada penemuan enam botol yang disyaki mengandungi bom ikan, dipercayai digunakan untuk aktiviti penangkapan ikan secara haram yang boleh merosakkan ekosistem marin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melaksanakan operasi gabungan Ops Sejahtera, Ops Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Ops Tiris 4.0 mengesan sebuah bot pam berwarna merah putih dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot terbabit bertindak memecut laju bagi mengelak ditahan.

Menurutnya, bagaimanapun tindakan itu gagal apabila bot berkenaan berjaya dipintas pada jarak kira-kira 1.6 batu nautika di timur Pulau Karindingan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam botol yang disyaki bom ikan.

“Pemeriksaan dokumen turut mendapati kedua-dua suspek, masing-masing tekong berusia 50 tahun dan awak-awak berusia 24 tahun, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selain enam botol bom ikan, pihaknya turut merampas sebuah bot enjin pam tanpa nombor pendaftaran, satu unit enjin pam 20 kuasa kuda serta satu unit kompresor udara tanpa jenama yang dipercayai digunakan untuk aktiviti menyelam.

Amir berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan bom ikan kerana aktiviti itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memusnahkan terumbu karang dan khazanah marin negara.

“Penggunaan bom ikan adalah satu jenayah serius yang memberi kesan besar kepada ekosistem laut serta sumber perikanan negara.

“Kami akan terus memperketatkan kawalan dan rondaan di kawasan hotspot bagi memastikan aktiviti haram ini dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat setempat, khususnya komuniti maritim, supaya terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut.

Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. – Info X