LAHAD DATU: Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran yang turut merosakkan enam kereta dan empat motosikal di Kampung Bumiputra Silam, Lorong Usman Duri 3, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, empat kereta dan empat motosikal musnah sepenuhnya, manakala dua lagi kereta mengalami kerosakan akibat bahang kebakaran.
Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.38 petang.
Menurutnya, sepasukan sembilan anggota bomba bersama sebuah jentera dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 186 meter persegi yang terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran turut melibatkan beberapa kenderaan yang berada berhampiran rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara kenderaan yang musnah sepenuhnya ialah Proton Saga (BLX), Proton Wira, Perodua Myvi dan Perodua Axia.
Katanya, Proton Iswara dan Proton Perdana pula mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus akibat bahang kebakaran.
“Selain itu, empat motosikal pelbagai jenis turut musnah terbakar dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.08 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X