KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 10 penyokong bertuah Manchester United berpeluang memenangi pakej lawatan lengkap ke Stadium Old Trafford menerusi cabutan bertuah pada Majlis Makan Malam Tahunan United Malaysia Ke-8 yang akan berlangsung pada 27 Jun ini.
Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam, berkata sambutan terhadap acara tahunan terbesar kelab penyokong rasmi Manchester United di negara ini amat menggalakkan apabila lebih 1,000 peserta sudah mengesahkan kehadiran setakat ini.
Beliau berkata, pihak penganjur turut mengambil keputusan menambah beberapa meja bagi memenuhi permintaan tinggi daripada ahli dan penyokong yang masih ingin mendapatkan tempat pada majlis berkenaan.
“Lebih 1,000 orang sudah mendaftar untuk menghadiri majlis makan malam ini dan kami telah menambah beberapa meja bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat.
“Bagaimanapun, tempat yang ditambah itu adalah terhad dan sebaik sahaja habis ditempah, tiada lagi tempat tambahan akan disediakan kerana kapasiti dewan tidak membenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Batholomew berkata, mereka yang belum mendapatkan tiket disaran berbuat demikian dengan segera bagi mengelakkan kekecewaan selain berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pakej perjalanan ke Old Trafford.
Katanya, majlis makan malam tahunan itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat untuk memenangi hadiah menarik, malah menjadi platform utama menghimpunkan penyokong Manchester United dari seluruh negara.
“Jika anda ingin merebut peluang memenangi lawatan ke Old Trafford atau menjadi sebahagian daripada detik bersejarah komuniti penyokong Manchester United di Malaysia, dapatkan tiket sebelum ia habis dijual.
“Majlis makan malam tahunan ini kekal sebagai perhimpunan terbesar penyokong Manchester United di Malaysia,” katanya.
Majlis bertemakan “United Unite!!! The Next Chapter” itu akan diadakan di Dewan Hakka, di sini, dengan pelbagai aktiviti khas berteraskan Manchester United disediakan kepada para hadirin.
Antara tarikan utama termasuk jualan barangan eksklusif, aktiviti interaktif berkaitan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu serta cabutan bertuah yang sentiasa menjadi antara acara paling dinantikan setiap tahun.
Batholomew berkata, tahap keterujaan penyokong dilihat mencapai rekod baharu susulan kembalinya acara itu ke Kota Kinabalu selepas dianjurkan di Kuching dan Kuala Lumpur masing-masing pada 2024 dan 2025.
Katanya, penganjuran di Kota Kinabalu sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada ahli serta penyokong Manchester United di seluruh negara.
“Seperti kebiasaan, majlis makan malam di Kota Kinabalu sentiasa dinantikan oleh ahli dan penyokong Red Devils di Malaysia.
“Dalam penganjuran sebelum ini di Kota Kinabalu, kehadiran melebihi 1,000 orang direkodkan dan kami menjangkakan jumlah yang sama atau lebih tinggi pada tahun ini ketika komuniti penyokong melangkah ke fasa baharu perjalanan mereka,” katanya.
Orang ramai yang berminat mendapatkan tiket boleh menghubungi Darrell Ho di talian 016-8311062 untuk maklumat lanjut. – Info X