PENAMPANG: Seorang lelaki ditemukan maut di kawasan hutan Kampung Togudon, di sini, pagi tadi, dipercayai selepas terkena pokok yang ditebangnya sendiri ketika menjalankan aktiviti di lokasi berkenaan.
Mayat mangsa, Lubin Sianong, 48, ditemui penduduk kampung dalam keadaan tertiarap di atas laluan kebun kira-kira jam 6 pagi sebelum penemuan itu dilaporkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat ahli keluarganya pada petang 10 Jun lalu sebelum masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk memeriksa dan menjaga pukat kelawar miliknya.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sebuah mesin pemotong kayu (chainsaw) serta beberapa barangan peribadi milik mangsa berhampiran tempat mayat ditemui.
“Berdasarkan pemerhatian awal di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah selepas terkena pokok yang ditebang sendiri ketika menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan tempat kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut membantu mengangkat mayat mangsa keluar dari kawasan hutan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Sammy berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa. – Info X