Search

18 TERMASUK 10 GRO DITAHAN DI TAWAU

July 22, 2022

admin

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau menahan 18 individu termasuk 10 wanita disyaki pelayan pelanggan (GRO) dalam satu serbuan Ops Gegar, di sebuah pusat hiburan, di Tawau, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 2.15 pagi itu, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Malah, ada di antara mereka yang dikesan melakukan kesalahan tinggal di negara ini melebihi masa.

Jurucakap JIM Sabah berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 81 individu membabitkan pekerja dan pengunjung premis ditahan bagi menjalani pemeriksaan dokumentasi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, 18 daripada individu terbabit gagal mempamerkan dokumen diri yang sah dan melanggar Akta Imigresen.

“Mereka yang ditahan adalah membabitkan lapan lelaki dan 10 warganegara Filipina serta Indonesia.

“Mereka ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki yang juga dipercayai majikan premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap JIM Sabah berkata, Operasi Bersepadu Gegar JIM Sabah itu dijalankan dengan kekuatan seramai 18 pegawai dan anggota. – Info X