Search

Pemergian KPD Tawau satu kehilangan besar buat PDRM Sabah: Jauteh

June 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemergian Ketua Polis Daerah (KPD) Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Sabah.

Allahyarham meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Tawau pada Rabu dan berita pemergiannya mengundang rasa dukacita dalam kalangan warga pasukan keselamatan serta masyarakat setempat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun bersama isteri, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah serta seluruh warga PDRM Sabah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Jauteh menerusi perkongsian di laman rasmi Facebook Polis Sabah menyatakan Allahyarham dikenali sebagai seorang pegawai yang berdedikasi, berintegriti dan sentiasa komited dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada pasukan dan masyarakat.

“Sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Daerah Tawau, Allahyarham turut dikenali kerana sifat mesra, rendah diri dan mudah didekati sehingga disenangi rakan setugas serta masyarakat.

“Pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada warga PDRM, malah menjadi kehilangan besar kepada komuniti yang pernah menerima khidmat dan kepimpinan beliau,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa kebajikan keluarga Allahyarham akan diberi keutamaan, selain bantuan sewajarnya disalurkan sehingga urusan pengkebumian selesai.

Seluruh warga PDRM Sabah turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan masyarakat akan terus dikenang sebagai legasi perkhidmatan yang cemerlang. – Info X