TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, 53, meninggal dunia pada jam 2.04 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.
Pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi kenyataan di Facebook rasmi IPD Tawau yang turut memaklumkan urusan pengurusan jenazah akan dilaksanakan di Tawau sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Jalan Apas.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid As-Salam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sejurus selesai proses bedah siasat dan pengurusan jenazah.
Selepas itu, jenazah akan dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas, Wakuba, bagi menunggu ketibaan anak Allahyarham yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 12.30 tengah hari selepas transit di Kota Kinabalu.
Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Jalan Apas.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya warga IPD Tawau yang pernah berkhidmat bersama beliau.
Orang ramai turut diajak mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah. – Info X