TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Allahyarham Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin yang meninggal dunia awal pagi tadi, dilaporkan berada dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Allahyarham antara pegawai kanan polis yang berpotensi besar untuk terus melangkah lebih jauh dalam kerjayanya berdasarkan prestasi cemerlang, pengalaman luas serta komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatan.
Menurutnya, pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga dan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, malah menjadi kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Sabah.
“Arwah seorang pegawai yang amat berdedikasi dan berpotensi untuk maju lagi dalam kerjayanya.
“Beliau antara pegawai yang paling senior dalam pangkat ACP di Kontinjen Sabah dan namanya memang antara yang disebut-sebut untuk memegang jawatan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas, Wakuba, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, Allahyarham turut berada dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat SAC sebelum pemergiannya.
“Ini satu kehilangan yang amat besar kepada PDRM, khususnya Kontinjen Sabah kerana beliau antara pegawai yang boleh diketengahkan untuk memegang jawatan lebih mencabar pada masa depan.
“Pemergian beliau pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada pasukan dan masyarakat yang pernah menerima khidmatnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga PDRM yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham.
Katanya, keluarga Allahyarham akan menerima pelbagai bentuk bantuan kebajikan yang disediakan oleh PDRM termasuk menerusi tabung khairat dan bantuan kewangan lain.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama membantu keluarga arwah pada saat sukar ini.
“Saya berharap ahli keluarga Allahyarham terus tabah menghadapi ujian ini dan menerima ketentuan Ilahi dengan penuh reda,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Jasmin, 53, meninggal dunia pada jam 2.04 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.
Mengulas mengenai punca kematian, Jauteh berkata pihaknya masih menunggu laporan rasmi bedah siasat daripada pihak hospital.
“Setakat ini laporan postmortem belum diterima lagi,” katanya. – Info X