KOTA KINABALU: Semangat hijrah amat penting untuk diterapkan dalam kalangan generasi muda Islam agar mereka sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sahsiah diri.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata generasi muda juga mesti bijak memanfaatkan kemudahan digital untuk tujuan yang berfaedah seperti pembelajaran, pembangunan kemahiran dan keusahawanan.
Tun Musa menekankan, gejala sosial yang merosakkan masa depan serta menjejaskan potensi diri, mesti dijauhi.
“Dengan berbekalkan semangat hijrah, generasi muda mampu menjadi pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab dalam membangunkan negara.
“Mudah-mudahan dengan semangat hijrah yang dipandu oleh nilai keimanan, integriti dan ihsan, Sabah terus melakar kemajuan yang diberkati Allah SWT serta menjadi negeri yang damai, harmoni dan sejahtera,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Maal Hijrah 1448 peringkat negeri, pada Rabu.
Tun Musa berkata, Peristiwa Hijrah juga memberikan pengajaran bahawa kejayaan bukan lahir daripada keselesaan tetapi daripada pengorbanan, kesabaran dan keyakinan terhadap pertolongan Allah SWT.

Jelasnya, semangat hijrah yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW sangat perlu untuk dihidupkan lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran dunia moden yang semakin kompleks.
“Umat Islam mesti berhijrah daripada budaya menyalahkan kepada budaya menyumbang, daripada sikap mementingkan diri kepada sikap kebersamaan serta daripada kelemahan ilmu kepada kecemerlangan pengetahuan. Inilah roh hijrah yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Mengenai sambutan Maal Hijrah, Tun Musa berkata umat Islam melangkah ke tahun baharu 1448 Hijrah dengan penuh keinsafan dan harapan untuk melakukan perubahan yang positif dalam setiap aspek kehidupan.
Katanya, langkah itu selaras dengan intipati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.
“Hijrah yang dimaksudkan, bukan sekadar perpindahan tempat, akan tetapi merupakan satu titik perubahan besar yang membawa kepada pembentukan masyarakat Islam yang progresif, bersatu padu, berdisiplin serta berakhlak mulia.
“Semangat hijrah seperti inilah yang perlu kita hayati dan dijadikan inspirasi dalam melayari bahtera kehidupan seharian,” katanya.
Tegasnya, hijrah bukan sekadar catatan sejarah yang diperingati setiap kali tibanya tahun baharu Islam, sebaliknya adalah perjalanan jiwa yang mengajar manusia bahawa setiap perubahan yang besar bermula dengan keberanian meninggalkan amalan atau perbuatan yang boleh menghalang kemajuan.
“Sebagai mana Rasulullah SAW meninggalkan Kota Mekah, demi mempertahankan akidah dan membina tamadun Islam yang gemilang di Madinah, demikian jugalah umat Islam hari ini, dituntut untuk berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada perpecahan kepada persaudaraan dan daripada kelalaian kepada ketaatan terhadap Allah SWT,” katanya.
Sambutan Maal Hijrah 1448H di Dewan Saadah, Wisma MUIS itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. – Info X