Search

Zainudin Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu

June 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Zainudin Aman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu berkuatkuasa mulai 29 Jun ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Safar Untong yang akan tamat perkhidmatannya pada 28 Jun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan harapan agar pelantikan beliau membolehkan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah terus maju dan berdaya saing dalam melaksanakan transformasi pentadbiran negeri Sabah.

Transformasi itu, katanya penting ke arah kemajuan dan kecemerlangan yang berterusan, sekali gus memastikan dasar-dasar kerajaan berjalan dengan baik demi kemakmuran rakyat dan negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Safar yang telah berkhidmat dengan penuh cemerlang, dedikasi, berhemah dan berintegriti, sejak menggalas tugas itu dari 2019.

Safar juga dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri berkuatkuasa 1 Jun 2026. – Info X