RANAU: Kegiatan memproses dan menjual air ketum di sebuah kampung di daerah ini terbongkar apabila seorang lelaki tempatan diberkas bersama puluhan botol minuman berkenaan dalam serbuan, hari ini.
Dalam operasi kira-kira jam 1.30 petang itu, suspek berusia 28 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, hasil pemeriksaan menemui 17 botol air mineral berkapasiti 1.5 liter dipercayai mengandungi air ketum yang disimpan di dalam sebuah bekas ais berwarna jingga.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum termasuk sebuah tong gas berwarna kuning, dapur memasak dan periuk.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum di kawasan berkenaan.
“Semua barang rampasan dibawa ke IPD Ranau untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memproses dan memiliki air ketum.
Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mursalin berkata, polis akan terus mempergiatkan operasi serta tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.
“Kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat bagi membantu polis mengekang kegiatan jenayah dan penyalahgunaan bahan terlarang di daerah ini,” katanya. – Info X