KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sah diterima sebagai parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Khamis.
Penerimaan permohonan parti itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di SICC.
Katanya, Majlis Tertinggi GRS sebulat suara bersetuju menerima permohonan UPKO sebagai parti komponen baharu gabungan berkenaan.
“Kita bersetuju sebulat suara untuk menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS, sejajar dengan perjuangan GRS iaitu Sabah United, Sabah First dan untuk memberi kekuatan kepada parti-parti gabungan tempatan serta mewujudkan kestabilan kerajaan di peringkat negeri yang sedia ada,” katanya.
Keanggotaan UPKO dalam GRS, katanya berkuatkuasa serta-merta bermula pada hari ini.
Hajiji berkata, selain UPKO, setakat ini tiada permohonan dari parti tempatan lain untuk menyertai GRS.
Sebelum ini, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menyatakan hasrat parti itu menyertai GRS kepada Hajiji dan mengemukakan permohonan rasmi.
UPKO adalah parti tempatan terbaharu menyertai GRS selepas tiga parti tempatan sebeluk ini meninggalkan GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – Info X