KOTA KINABALU: Persatuan Seni Masyarakat Tonggak Sabah (Pillars of Sabah) mencipta sejarah tersendiri apabila menghasilkan mural khas untuk stesen radio komuniti nombor satu Sabah, KupiKupiFM, yang mengetengahkan identiti serta kepelbagaian etnik di negeri ini.
Wakil persatuan itu, Jared Abd Rahman, 39, berkata mural berkenaan adalah karya asli yang dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan mereka tanpa meniru mana-mana reka bentuk sedia ada.
Menurutnya, kebanyakan corak atau reka bentuk mural lazimnya diperoleh daripada sumber dalam talian atau buku, namun projek itu menampilkan idea dan interpretasi tersendiri yang diinspirasikan daripada kepelbagaian etnik di Sabah.

“Setiap elemen dalam mural ini melambangkan etnik yang berbeza, namun mesej utama yang ingin disampaikan ialah walaupun kita datang daripada pelbagai latar belakang budaya, kita semua adalah rakyat Sabah.
“Apa yang menyatukan kita sebagai Sabahan menjadi tema utama dalam penghasilan karya ini,” katanya ketika ditemui Info X.
Jared berkata, proses menyiapkan mural berkenaan mengambil masa kira-kira 10 hari dengan penglibatan empat hingga lima individu.
Katanya, tidak semua yang terbabit adalah artis profesional kerana persatuan berkenaan turut memberi peluang kepada ahli lain untuk menyertai projek seni komuniti.
“Antara cabaran terbesar ialah menghasilkan corak yang mewakili identiti etnik tertentu. Jika terlalu realistik dan terdapat kesilapan kecil, ia mungkin menimbulkan salah faham atau kritikan.
“Sebab itu kami memilih pendekatan yang lebih kreatif dan imaginatif tanpa menghilangkan elemen identiti yang ingin diketengahkan,” katanya.

Walaupun memiliki bakat dalam bidang lukisan dan reka bentuk, Jared menjelaskan peranannya dalam projek itu lebih kepada penyelaras pasukan.
Beliau yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang psikologi dan geografi berkata, minat terhadap seni mula berkembang sebelum aktif bersama persatuan itu sejak 2018.
“Kebiasaannya kami melaksanakan antara dua hingga tiga projek setiap tahun, bergantung kepada peluang dan kerjasama yang diterima,” katanya.
Mengulas mengenai konsep yang dibawa oleh persatuan itu, Jared berkata mereka memberi tumpuan kepada pendekatan placemaking, iaitu usaha menjadikan sesuatu ruang bukan sekadar kawasan fizikal, tetapi mempunyai makna dan nilai kepada komuniti setempat.
“Bagi kami, sesebuah tempat bukan hanya ruang yang dilihat secara fizikal, tetapi ruang yang mempunyai cerita, identiti dan makna kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Sabah Human Development and Empowerment Association (SAHDEA), Arthur Erik berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh Pillars of Sabah, termasuk dalam menjayakan projek mural berkenaan.
Menurutnya, SAHDEA berperanan sebagai rakan sokongan dengan membantu menyediakan keperluan yang diperlukan sepanjang pelaksanaan projek.

“Kami memang sentiasa menjadi penyokong kepada usaha mereka. Dalam projek ini, apa sahaja kekurangan yang ada, kami cuba bantu, termasuk menyediakan cat, peralatan dan keperluan lain bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, mural itu bukan sahaja menampilkan kepelbagaian budaya Sabah, malah membawa mesej yang lebih luas mengenai perpaduan dan identiti masyarakat.
“Apabila dilihat secara keseluruhan, mural ini menggambarkan gabungan masyarakat Sabah dan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Setiap individu mempunyai pegangan, identiti dan peranan masing-masing dalam masyarakat.
“Semua orang mempunyai hak serta identiti tersendiri, dan itulah yang menjadikan masyarakat kita unik. Walaupun berbeza, kita tetap boleh berdiri bersama sebagai satu komuniti,” katanya.

Beliau turut berharap mural berkenaan dapat menjadi tarikan kepada pengunjung KupiKupiFM yang sering menjadikan kawasan stesen radio itu sebagai lokasi bergambar.
“Kalau kita lihat, banyak sesi temu bual dan program di KupiKupiFM menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar. Jadi, kami mahu menghasilkan latar belakang yang lebih menarik dan bermakna untuk mana-mana individu atau kumpulan yang datang ke sini.
“Selain mencantikkan ruang, mural ini juga boleh menjadi medium untuk menyampaikan mesej perpaduan dan identiti masyarakat Sabah kepada orang ramai,” katanya. – Info X