LAHAD DATU: Kegiatan seorang lelaki warga asing yang dipercayai aktif mengedar dadah di daerah ini terbongkar apabila ditahan dalam serbuan Op Tapis di Kampung Sharip Simunul, di sini, semalam.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah disyaki syabu seberat 50.75 gram yang dianggarkan bernilai RM5,582.50.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek lelaki warga asing berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam operasi yang dijalankan hasil risikan dan maklumat awam.
Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemukan lapan paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki syabu.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 50.75 gram dengan anggaran nilai pasaran RM5,582.50.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta mengesan rangkaian pengedaran yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dadah amat dihargai bagi memastikan daerah ini bebas daripada ancaman dadah,” katanya. – Info X