Search

23 DISYAKI TERBABIT JENAYAH DITAHAN DI TAWAU

July 24, 2022

admin

TAWAU: Polis di sini menahan 23 individu termasuk empat wanita dalam operasi pencegahan jenayah yang dijalankan di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi pencegahan jenayah berkenaan akan diadakan secara berterusan meliputi seluruh kawasan di daerah ini.

“Dalam operasi selama tiga hari itu, seramai 15 lelaki dan dua wanita ditahan atas kesalahan dadah dengan rampasan sejumlah 116.07 gram syabu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, operasi turut menahan empat lelaki dan dua wanita atas kesalahan jenayah mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sehubungan itu, Jasmin menyeru seluruh masyarakat daerah ini supaya bersama-sama pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.

Katanya, masyarakat boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak Polis melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun melalui telefon bimbit masing-masing. – Info X