KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menggesa semakan semula dibuat terhadap pelaksanaan mekanisme subsidi diesel bersasar di Sabah.
ADUN Luyang, Samuel Wong dan ADUN Api-Api, Loi Kok Liang, sependapat bahawa pelaksanaan mekanisme yang diumumkan kerajaan tidak sesuai untuk Sabah.
Mereka berkata, walaupun tujuan perkara itu adalah untuk menambah baik penyasaran subsidi dan mencegah ketirisan bahan api berkenaan, ia perlu mengambil kira realiti unik di Sabah.
“Dasar itu mesti mengambil kira realiti unik di Sabah berbanding melaksanakan pendekatan satu saiz untuk semua yang dibuat berdasarkan keadaan di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, kerajaan Persekutuan menetapkan had kuota pembelian diesel sebanyak 200 liter sebulan pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan subsidi bersasar di seluruh negara.
Samuel berkata, beliau memahami objektif kerajaan untuk mencegah ketirisan subsidi, namun menegaskan pelaksanaannya tidak seharusnya menjejaskan rakyat Sabah.
“Sebarang pembaharuan subsidi seharusnya menyasarkan penyalahgunaan, bukan mewujudkan kesukaran yang tidak sepatutnya terhadap keluarga yang mematuhi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa kerajaan akan mengekalkan prinsip ‘satu kenderaan, satu kuota’ adalah wajar jika objektifnya untuk menjaga dana awam dan menghalang tuntutan berganda.
Bagaimanapun, katanya pelaksanaan subsidi bersasar mesti melihat situasi sebenar kehidupan keluarga di Sabah.
“Isunya bukan berkaitan meminta lebih banyak subsidi, sebaliknya adalah isu memastikan subsidi sampai kepada rakyat yang memerlukan pertolongan,” katanya.
Katanya, berkongsi kenderaan keluarga adalah biasa di Sabah kerana ramai isi rumah tidak mampu memiliki banyak kenderaan.
“Ada anak bekerja di Semenanjung yang membelikan kenderaan diesel untuk ibu bapa tua mereka di Sabah.
“Ada kereta keluarga didaftar di bawah seorang adik-beradik tetapi dipandu setiap hari oleh yang lain, malah ada juga kenderaan kekal di bawah nama ibu bapa walaupun ia digunakan setiap hari oleh anak-anak.
“Ini bukan cubaan untuk mengeksploitasi sistem subsidi, ia adalah kedudukan keluarga biasa yang menggambarkan realiti sebenar dihadapi ramai rakyat Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Samuel mencadangkan agar mekanisme subsidi ditambah baik dengan mengambil kira pengguna kenderaan yang diberi kuasa, berbanding hanya kepada pemilik berdaftar.
“Kuota subsidi dikekalkan kepada kenderaan tetapi sisten perlu menyediakan fleksibeliti yang secukupnya untuk pengguna kenderaan yang diberi kuasa bagi mengakses kuota sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Loi berkata perbincangan tidak seharusnya terhenti terhadap pelaksanaannya sahaja kerana ia turut berkaitan kesan ekonomi yang luas dijangka dirasai oleh setiap rakyat Sabah.
Rakyat Sabah, katanya sudah dibebani kos hidup yang tinggi disebabkan cabaran struktural yang wujud sejak berdwkad lamanya.
“Perniagaan di Sabah beroperasi dengan kos pengangkutan yang tinggi, laluan penghantaran yang panjang dan perbelanjaan pebgangkutan yang besar berbanding negeri lain.
“Jika kos diesel naik atau sokongan subsidi menjadi tidak mencukupi, kos tambahan itu tidak akan hilang, sebaliknya akan dialihkan kepada pengguna melalui harga makanan, keperluan harian dan perkhidmatan asas yang tinggi,” katanya. – Info X