Search

Sabah Electricity catu bekalan elektrik

June 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) melaksanakan catuan bekalan elektrik secara berjadual di beberapa kawasan seluruh Sabah berikutan kekurangan kapasiti janaan dalam sistem grid negeri.

Melalui satu kenyataan pada Isnin, syarikat utiliti itu berkata kekurangan janaan tenaga elektrik disebabkan gangguan platform gas luar pesisir milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang menjejaskan bekalan gas ke beberapa Penjana Kuasa Bebas (IPP).

Keadaan itu, katanya menyebabkan pengurangan kapasiti penjanaan tenaga elektrik dalam sistem grid Sabah.

“Langkah ini dilaksanakan sebagai usaha pengurusan sistem bagi memastikan kestabilan grid elektrik negeri terus terpelihara sementara usaha pemulihan kapasiti penjanaan sedang dilaksanakan.

“Sabah Electricity memahami kesulitan yang akan dialami oleh pengguna akibat pelaksanaan catuan bekalan ini dan sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan tempoh gangguan,” katanya.

Sabah Electricity berkata, maklumat terkini mengenai kawasan yang terlibat serta perkembangan semasa akan
dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Facebook Sabah Electricity Careline.

Katanya, pengguna juga boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di talian 15444.

“Sabah Electricity memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna.

“Pengguna dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah yang sewajarnya sepanjang tempoh catuan bekalan dan mengikuti pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat,” katanya. – Info X