TAMPARULI: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menerima sokongan untuk dipilih sebagai presiden baharu parti itu pada pemilihan PBS kali ini yang dijangka diadakan pada September depan.
Sokongan itu disuarakan Ketua Bahagian PBS Tamparuli yang baharu, Dr Bonaventure Boniface selepas selesai pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PBS peringkat bahagian itu, di sini, pada Ahad.
Beliau mengemukakan usul supaya tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti pada Kongres PBS akan datang dan mencadangkan Dr Joachim sebagai Presiden PBS bagi sesi 2026–2029.
“Ini demi memastikan kesinambungan kepimpinan yang stabil, memperkukuhkan perpaduan parti dan memperkasa kedudukan PBS dalam kerajaan negeri dan landskap politik Sabah,” katanya.
Ketika ini, Dr Joachim yang juga Timbalan Presiden PBS memangku jawatan presiden parti itu sejak Jun 2024 selepas presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili membuat keputusan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya berikutan masalah kesihatan.
Sementara itu, pada pemilihan PBS Tamparuli, Bonaventure memenangi jawatan Ketua Bahagian selepas menewaskan bekas Timbalan Ketua Bahagian, Madin Anak dalam pertandingan satu lawan satu.
Dalam ucapannya, Bonaventure yang juga bekas calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Tamparuli pada PRN17, menyifatkan kemenangan beliau sebagai kemenangan seluruh keluarga besar PBS Tamparuli.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada bekas Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, yang menerajui bahagian itu selama enam penggal.
Katanya, jasa dan pengorbanan Jahid dalam membangun dan memperkukuhkan organisasi parti di Tamparuli adalah satu legasi yang amat besar dan perlu terus dihargai oleh seluruh ahli PBS bahagian itu.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Jahid Jahim atas kepimpinan, jasa dan pengorbanan beliau selama enam penggal menerajui Bahagian Tamparuli.
“Beliaulah yang telah meletakkan asas yang kukuh untuk kita terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Jahid dilantik sebagai Penasihat PBS Bahagian Tamparuli bagi terus memanfaatkan pengalaman, kebijaksanaan dan pandangan beliau dalam membimbing kepimpinan baharu demi kesinambungan perjuangan parti.
Pemilihan PBS Tamparuli turut menyaksikan penyandang Ketua Pemuda PBS Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, berjaya mempertahankan jawatannya selepas menewaskan pencabar tunggalnya, George Bagang, manakala Maclyn Gabu dipilih sebagai Ketua Wanita tanpa bertanding selepas memangku jawatan itu sebelum ini.
Seramai 650 perwakilan dari seluruh Bahagian Tamparuli hadir menunaikan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan baharu membabitkan jawatan Ketua Bahagian, Ketua Pergerakan Wanita dan Ketua Pergerakan Pemuda. – Info X