KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah berurus niaga dengan minyak diesel tanpa lesen yang sah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 25 Jun lalu.
Tertuduh, Abdul Salam Ismail, 36, berdepan pertuduhan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
Abdul Salam mengaku bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan fakta kes, pada 19 April 2026, hasil maklumat risikan, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menjalankan pemeriksaan di kawasan parkir Jalan Tugu, Kota Kinabalu.
Hasil pemeriksaan menemukan 186 liter minyak diesel dalam sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan Toyota Hilux Rocco.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh tidak memiliki lesen yang sah bagi menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual itu.
Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan barang kawalan iaitu minyak diesel berjumlah RM774.09 dijadikan hasil Kerajaan Malaysia.
Selain itu, kesemua barang yang disita dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia, kecuali kenderaan yang diperintahkan untuk dikembalikan kepada pemilik berdaftar.
Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] memperuntukkan hukuman denda terhadap individu sehingga RM1,000,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan PmPTK Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin, dalam kenyataannya berkata operasi penguatkuasaan melalui Ops Tiris 4.0 Bersepadu akan terus ditingkatkan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menyalahguna barang kawalan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan menyebabkan ketirisan hasil negara.
“Selain hukuman denda dan penjara, tindakan lucut hak terhadap barang sitaan termasuk kenderaan boleh dikenakan oleh mahkamah sebagai langkah tegas bagi membendung aktiviti penyelewengan ini,” katanya.
Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN iaitu WhatsApp Aduan KPDN: 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre: 1-800-886-800 atau Aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X