Search

Lelaki maut dibaham buaya ketika periksa pukat

June 30, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham buaya ketika mengambil hasil laut daripada pukat yang dipasang di perairan Kampung Mundas, Tungku, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun dikatakan keluar ke laut bersendirian untuk memeriksa pukat yang dipasang sehari sebelum kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, ketika mangsa sedang mengangkat hasil tangkapan daripada pukat berkenaan, seekor buaya dipercayai muncul secara tiba-tiba sebelum membaham mangsa pada bahagian perut dan dada sebelah kiri.

Menurutnya, serangan itu menyebabkan mangsa tenggelam ke dalam air sebelum usaha mencarinya dilakukan oleh ahli keluarga bersama penduduk kampung.

“Mayat mangsa kemudian ditemukan terapung di kawasan Pantai Kampung Mundas kira-kira jam 10 pagi sebelum dibawa naik ke darat.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengambil hasil laut daripada pukat yang dipasang sehari sebelumnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan sebarang aktiviti di kawasan sungai atau laut, terutama di lokasi yang dikenal pasti mempunyai kehadiran buaya.

Katanya, langkah berjaga-jaga itu penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berulang.

Kejadian itu adalah insiden kedua membabitkan serangan buaya di daerah ini dalam tempoh dua hari.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas dipercayai dibaham buaya ketika berada di sungai di Jalan Dent Heaven, Kampung Tagupi, Lahad Datu.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa ditemukan oleh ahli keluarga bersama penduduk kampung kira-kira jam 2 petang selepas usaha mencarinya dijalankan. – Info X