KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan 21 individu serta merampas pelbagai barangan bernilai RM24.15 juta menerusi Operasi Bersepadu Op Chiller Briged Sabah yang dilaksanakan pada 8 Julai lalu.
Operasi yang berlangsung bermula jam 8 pagi itu dijalankan serentak di 11 daerah di negeri ini iaitu Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.
Operasi bersepadu kali ini melibatkan seramai 147 pegawai terdiri daripada anggota Briged Sabah PGA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata operasi berkenaan bertujuan untuk mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan.
Katanya, ia turut menumpukam kesalahan lain termasuk penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku.
“Hasil operasi, sebanyak 14 serbuan berjaya dilaksanakan yang membawa kepada penahanan 21 individu termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 66 tahun.
“Operasi turut berjaya merampas pelbagai produk sejuk beku melibatkan produk makanan segera termasuk nugget, sosej, daging import jenama Allana, lamb shoulder, daging ayam, ikan, daging shabu-shabu serta organ dalaman lembu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan sebanyak RM24.152 juta iaitu melibatkan produk sejuk beku bernilai RM10.348 juta serta sitaan aset bernilai RM13.804 juta.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan termasuk Food Establishment By-Law 2022, Sabah Uniform Building By-Law 2022, Licensing the Use of Premises for Trade, Business, Industry and Profession By-Law 2022 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Yusri menegaskan PDRM akan terus komited dan konsisten membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku dan lain-lain kesalahan yang menyalahi undang-undang, khususnya di Sabah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berkenaan digesa supaya menyalurkannya kepada pihak PDRM bagi membantu usaha penguatkuasaan,” tegasnya. – Info X