KENINGAU: Hasrat tiga penganggur untuk meraih wang mudah melalui kegiatan pengedaran dadah tidak kesampaian apabila mereka ditahan bersama syabu dalam serbuan di hadapan sebuah inap desa di daerah ini, semalam.
Dalam operasi jam 5.50 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan sebuah Perodua Bezza yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sebuah kotak besi berwarna coklat yang diletakkan di bahagian hadapan gear.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kotak itu membawa kepada penemuan enam paket plastik lutsinar mengandungi ketulan jernih disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 10.15 gram.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,500,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 21 hingga 23 tahun tidak menemukan sebarang barangan lain yang menyalahi undang-undang.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek negatif dadah, manakala seorang lagi positif methamphetamine dan amphetamine.
“Ketiga-tiga suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek yang positif dadah turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah berkenaan,” katanya. – Info X