Search

Dua wanita diselamatkan selepas terperangkap dalam lif

July 14, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih 30 minit dalam lif dalam kejadian di Wisma Persekutuan, Batu 7, di sini, hari ini.

Kedua-dua wanita itu dipercayai menaiki lif sebelum berlaku gangguan bekalan elektrik menyebabkan mereka terperangkap dalam lif ketika berada di tingkat enam bangunan berkenaan, kira-kira jam 7.30 pagi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama, berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi itu bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Ketika anggota tiba, bekalan elektrik sudah pulih, namun pintu lif gagal dibuka dan kedua-dua mangsa masih terperangkap.

“Menurut seorang daripada mangsa, mereka berada di dalam lif selama 35 minit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sulaiman berkata, anggotanya terpaksa menggunakan peralatan pemotong bagi membuka pintu lif yang tersekat sebelum berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 8.04 pagi.

Sepanjang operasi itu, katanya, anggota sentiasa berkomunikasi dengan kedua-dua mangsa bagi menenangkan mereka dan memastikan keadaan terkawal sementara usaha membuka lif dilakukan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa kekal tenang sekiranya berdepan situasi seperti itu pada masa akan datang serta segera menghubungi pihak pengurusan bangunan atau talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan. – Info X