LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu merampas isirung kelapa sawit (kernel) dan beberapa aset bernilai lebih RM600,000 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan POIC, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, beberapa pekerja dipercayai bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, namun pihak berkuasa berjaya merampas sejumlah besar isirung kelapa sawit yang dipercayai disimpan tanpa lesen yang sah.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan hasil kerjasama strategik antara PPM Wilayah 4 Sabah dan MPOB Lahad Datu bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pengendalian isirung kelapa sawit yang melanggar peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, selain isirung kelapa sawit, pihaknya turut merampas beberapa aset yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang bagi melindungi kepentingan industri komoditi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 11 kes di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 membabitkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM8.7 juta.
“Sepanjang tempoh itu juga, seramai 25 individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan di bawah akta berkenaan,” katanya. – Info X