Search

Lapan pelajar direman bantu siasatan kes gaduh di Tawau

July 15, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Lapan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah, di sini, direman dua hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang didakwa berpunca daripada penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau pada Rabu.

Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Nurul Amira Razali.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dengan seorang lelaki awam di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dipercayai menggunakan topi keledar sebagai senjata ketika pergaduhan berlaku.

Susulan kejadian berkenaan, sepasukan polis menahan semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun kira-kira jam 3 petang semalam bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai tercetus susulan perselisihan berkaitan dakwaan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi AI.

Kandungan berkenaan dipercayai menggunakan wajah dua individu sebelum didakwa tersebar di media sosial sehingga mencetuskan ketegangan antara pihak terbabit.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut polis mendapati tiada sebarang video suntingan AI seperti yang didakwa ditemui di mana-mana platform media sosial.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. – Info X