Search

Inkues Zara Qairina: Saksi pakar lantikan keluarga arwah tidak dibenar meneruskan keterangan

July 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Saksi pakar lantikan keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Dr Noor Aishah Rosli tidak dibenarkan untuk meneruskan keterangannya dalam inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini.

Keputusan itu dibuat Koroner Amir Shah Amir Hassan selepas mendengar hujah lisan daripada semua pihak yang terbabit dalam inkues berkenaan, pada Rabu.

Bagaimanapun, keterangan saksi ke-76 itu sebagai Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar sejak Isnin, termasuk laporannya yang dijadikan eksibit, dikekalkan dalam rekod prosiding Mahkamah Koroner.

Amir Shah berkata, bantahan yang dibangkitkan oleh Pegawai Pengendali inkues diterima sebahagiannya.

“Dengan penuh hormat dan tanpa menjejaskan kelayakan akademik atau pengalaman empirikal beliau, saksi ke-76 tidak dibenarkan meneruskan pemberian pendapat pakar dalam inkues ini.

“Keterangan lisan dan keterangan dokumen yang telah dikemukakan oleh saksi ke-76, termasuk Eksibit I-299, hendaklah dikekalkan dalam rekod prosiding,” katanya.

Amir Shah berkata, status undang-undang Eksibit I-299, sama ada ia akan diterima sebagai pendapat pakar, dihadkan kepada naratif fakta atau ditolak sepenuhnya, serta nilai pembuktian yang akan diberikan kepada keterangan saksi akan diputuskan kemudian.

“Perkara-perkara ini akan tertakluk kepada analisis akhir dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hujahan lanjut daripada semua pihak berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan pada penutupan inkues,” katanya.

Dr Noor Aishah adalah saksi yang dipanggil oleh pasukan peguam diketuai Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Saksi berumur 51 tahun itu sebelum ini mengakui berdaftar dengan Lembaga Kaunselor, namun tidak berdaftar sebagai Pakar Psikologi Klinikal Kanak-Kanak di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Berikutan itu, Pegawai Pengendali Inkues, Nahra Dollah membantah Dr Noor Aishah daripada meneruskan keterangan sebagai saksi pakar.

Nahra menyatakan Dr Noor Aishah gagal memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah akta ditetapkan untuk terus memberikan keterangan pakar.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili ibu dan bapa Zara berhujah, peraturan ketat mengenai keterangan perlu dilonggarkan memandangkan inkues adalah prosiding pencarian fakta bukan adversarial.

Mereka berhujah bahawa di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan 1950, satu-satunya syarat ialah seseorang itu mempunyai kemahiran atau kepakaran berdasarkan pengalaman dan pengetahuan (empirical skill).

Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang pelajar dalam inkues itu pula berhujah, disebabkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang itu, Eksibit I-299 juga hendaklah ditolak sepenuhnya sebagai keterangan pakar.

Beliau juga berkata semua pendapat lisan yang diberikan Dr Noor Aishah atas kapasitinya sebagai pakar hendaklah diketepikan sepenuhnya.

Inkues kematian Zara Qairina yang dilaksanakan sejak September 2025 dibuat bagi mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian. – Info X