TUARAN: Peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di tepi jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, di sini, bakal menerima bantuan tunai RM3,000 seorang.
Bantuan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika merasmikan Karnival Usahawan dan STEM X Challenge sempena pertandingan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik, di sini, pada Ahad.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata beliau sudah mengarahkan Pegawai Daerah Tuaran untuk menyenaraikan peniaga kecil di Sulaman supaya bantuan tunai itu dapat diagihkan.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya telah berjanji dan saya berharap saya akan mendapat senarai tersebut dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya pada majlis berkenaan.
Ketua Menteri berkata, beliau memahami keperluan peniaga kecil yang amat memerlukan bantuan sedemikian.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Karnival Usahawan dan STEM X Challenge amat signifikan kerana dapat membantu usahawan kecil dalam perniagaan mereka.
“Ianya memberi semangat dan peluang kepada usahawan kecil terutama golongan muda untuk meneruskan aktiviti harian.
“Bukan semua kita boleh bekerja sebagai pegawai kerajaan tetapi kita boleh menceburkan diri dalam perniagaan dan menjadi seorang usahawan.
“Jika kita berjaya menjadi seorang usahawan maka ianya boleh mendatangkan pendapatan yang lebih baik lagi. Yang penting kita mesti rajin dan jangan malu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan untuk usahawan terutama usahawan muda agar dapat bergerak maju.

Mengenai STEM X Challenge, beliau berkata bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting pada zaman yang serba moden ini.
“Amat penting untuk anak-anak kita menguasai STEM kerana ianya amat diperlukan untuk mencapai kejayaan dan tentunya dalam pembangunan negara dan masyarakat,” katanya.
Katanya, penganjuran program yang mengambil inspirasi sempena World Cup 2026 turut membawa mesej bahawa semangat kesukanan boleh diterjemahkan dalam bidang pendidikan dan inovasi.
“Sebagaimana sukan menuntut disiplin, strategi, kerjasama dan semangat juang yang tinggi, begitu jugalah bidang STEM dan keusahawanan memerlukan sifat yang sama untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Ends