Search

Chester Pang terus terajui KREATIF Sabah bagi penggal 2026-2028

July 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Chester Pang Thien Fook terus diberi kepercayaan untuk menerajui Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF Sabah) selepas dipilih sebagai Pengerusi bagi penggal 2026-2028 pada Mesyuarat Agung Pertama pertubuhan itu yang berlangsung di sebuah hotel di Inanam, di sini.

Pemilihan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hala tuju gabungan yang menghimpunkan pelbagai persatuan seni kreatif di Sabah, selain memperkasakan pembangunan industri kreatif negeri menerusi kerjasama lebih erat antara penggiat industri dan kerajaan.

Barisan kepimpinan baharu KREATIF Sabah turut menyaksikan Guadik Ansiw dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, Mohd Nazri Saidali sebagai Setiausaha dan Raimon Sukudat sebagai Bendahari, selain dibantu barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif daripada pelbagai persatuan seni kreatif di negeri ini.

Dalam ucapan sulungnya, Chester merakamkan penghargaan kepada semua presiden dan pengerusi persatuan ahli yang memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin KREATIF Sabah bagi penggal baharu.

Beliau berkata, penubuhan KREATIF Sabah menjadi titik permulaan penting dalam usaha menyatukan semua persatuan seni kreatif di negeri ini sebagai sebuah badan induk yang mampu menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam merangka dasar serta memperkukuhkan pembangunan industri kreatif Sabah.

“Sudah sekian lama kita mengimpikan sebuah platform yang mampu menyatukan semua persatuan seni kreatif sebagai pemegang taruh industri untuk bersama-sama membantu Kerajaan Negeri Sabah membangunkan sektor kreatif yang lebih tersusun dan mampan,” katanya.

KREATIF Sabah menerima kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 28 April lalu dan kini dianggotai lapan persatuan yang mewakili pelbagai cabang industri kreatif termasuk filem, muzik, seni persembahan serta seni visual.

Antara persatuan terbabit ialah Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Kelab Orkestra Kinabalu Sabah (KOKiS), Persatuan Komposer, Penulis Lirik dan Artis Nasyid Sabah (KOPAN), Persatuan Bakat Skrin Sabah (PBSS), Persatuan Penggerak Kreatif dan Inovasi Sabah (SCREIMO), Persatuan Komuniti Seniman Jalanan Sabah (SBC) serta Persatuan Bakat Seni dan Kreativiti Sabah (PBSKS).

Menurut Chester, fokus utama KREATIF Sabah selepas ini adalah memperkukuh struktur organisasi, menyusun pelan tindakan strategik bersama barisan kepimpinan baharu serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri kreatif.

Beliau berkata, KREATIF Sabah turut merancang mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah pada awal Ogos depan sebelum meneruskan siri pertemuan dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi membentangkan perkembangan semasa industri kreatif negeri.

Katanya, pertemuan itu juga akan dimanfaatkan untuk mengemukakan cadangan kerjasama strategik yang mampu merancakkan pembangunan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga di Sabah, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni tempatan.

Sementara itu, Mesyuarat Agung berkenaan turut menyaksikan pelantikan Datuk Roger Chin sebagai Penasihat Kehormat pertama KREATIF Sabah.

Pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh peranan pertubuhan berkenaan dalam membangunkan ekosistem industri kreatif yang lebih mampan, berdaya saing dan inklusif.

Dalam ucapannya, Roger menegaskan kepentingan perlindungan harta intelek (IP) bagi memastikan pengkarya serta pencipta asal menikmati manfaat ekonomi daripada hasil karya yang dihasilkan.

Beliau turut mengingatkan penggiat industri supaya meneliti setiap kontrak yang ditawarkan sebelum menandatanganinya bagi mengelakkan hak dan kepentingan mereka terjejas.

Katanya, kewujudan KREATIF Sabah kini membolehkan ahli mendapatkan pandangan serta nasihat daripada persatuan masing-masing atau terus merujuk kepada beliau berkaitan sebarang perjanjian yang melibatkan hak harta intelek.

Mesyuarat Agung pertama itu turut dihadiri wakil pelbagai persatuan seni, agensi berkaitan serta komuniti kreatif dari seluruh Sabah yang menyatakan komitmen untuk bersama-sama memperkukuh pembangunan industri kreatif negeri secara lebih menyeluruh.- Info X