Search

Sidang DUN: Roadmap perkasa industri hiliran gas dan minyak 2026-2030 akan dibangunkan

July 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan membangunkan roadmap 2026-2030 bagi memperkasa industri hiliran gas dan minyak di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata roadmap itu adalah antara resolusi persidangan Sabah Oil and Gas Services and Equipment (SOGSE) anjuran MINDET pada bulan lalu.

“Antara tujuannya untuk mengembangkan industri hiliran di Sabah. Saya akan membentangkan cadangan roadmap ini kepada Kabinet Negeri dan mudah-mudahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, selepas mendapat mandat daripada Kabinet, saya akan kembali semula ke Dewan ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone Kurum berkata, cadangan penubuhan taman perindustrian di Kimanis dikenal pasti dan dirancang pada peringkat awal sebagai salah satu lokasi berpotensi memperkukuh pembangunan sektor perindustrian di Sabah.

Beliau berkata, MINDET dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah telah melaksanakan penilaian awal bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan pembangunan taman perindustrian baharu di kawasan itu.

Bagaimanapun katanya, hasil penilaian dan semakan lanjut mendapati kawasan yang dikenal pasti berdepan cabaran utama dari aspek pengambilan tanah.

“Berdasarkan semakan awal, dianggarkan lebih daripada 1,500 pemilik geran tanah terlibat sekiranya pembangunan taman perindustrian baharu diteruskan di lokasi tersebut.

“Perkara ini sudah tentu akan memberi implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri, khususnya dari segi kos pengambilan tanah dan kemungkinan kos pemindahan penduduk yang terlibat di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir (GRS-Pantai Manis) sama ada penubuhan taman perindustrian di Kimanis diteruskan serta jenis industri yang dirancang untuk dibangunkan di kawasan itu.

Jonnybone berkata, mengambil kira faktor itu, termasuk keperluan memastikan pembangunan taman perindustrian dilaksanakan secara berhemah, mampan dan tidak membebankan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri, Jemaah Menteri pada Februari 2025 telah memutuskan supaya cadangan pembangunan taman perindustrian baharu di lokasi tanah yang dikenal pasti di Kimanis tidak diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tidak bermaksud agenda pembangunan perindustrian di Sabah dihentikan, sebaliknya, kementerian mengambil langkah proaktif untuk meneroka kawasan alternatif yang lebih sesuai dan berdaya laksana, termasuk di Beaufort.

Beliau berkata, Beaufort sedang diteliti kerana mempunyai potensi dari segi kedudukan strategik serta memerlukan pengambilan tanah yang lebih rendah berbanding lokasi asal di Kimanis, sekali gus dapat mengurangkan kos pembangunan awal dan mempercepatkan proses perancangan serta pelaksanaan.

“Pada masa ini, kementerian sedang menyelaras perkara ini bersama agensi-agensi berkaitan bagi menilai kesesuaian kawasan Beaufort sebagai lokasi alternatif pembangunan taman perindustrian, termasuk kos pengambilan tanah.

“Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap pembangunan taman perindustrian dilaksanakan secara strategik, berdaya maju dan memberi pulangan ekonomi yang optimum kepada negeri, di samping meminimumkan kos pengambilan tanah serta impak kepada penduduk setempat,” katanya.- Info X