Search

KONSERT KUPIKUPIFM 2022 KEMBALI GEGARKAN PENTAS!

August 1, 2022

admin

KOTA KINABALU: Radio pilihan nombor Sabah, Kupikupi FM kembali menggegarkan dunia hiburan tempatan menerusi Konsert Kupikupifm 2022.

Bertempat di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Penampang pada 6 Ogos ini, konsert berkenaan dianjurkan bagi mengubati kerinduan pendengar dan penggemar muzik di Sabah selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.

Antara artis yang bakal beraksi di pentas konsert berkenaan termasuklah Estranged, HyperAct, Marsha Milan, Velvet Aduk, Elica Paujin, Francis Landong dan Dabra Sia.

Pengurus Besar Kupikupi FM, Lester Calvin Miol berkata, pihaknya kembali mengetengahkan artis-artis temptan dalam konsert kali ini seperti penganjuran pertama acara hiburan terbabit pada 2016.

“Kembali ke akar umbi dengan konsert ini, kami menampilkan 14 penyanyi tempatan daripada pelbagai genre muzik.

“Sungguh menggembirakan buat kami di Kupikupi FM kerana akhirnya dapat membawa kembali hiburan konsert kepada rakyat Sabah selepas dua tahun penangguhan akibat Covid-19.

“Kami turut berharap dengan adanya konsert ini, ia dapat memberikan senyuman dan keterujaan kepada peminat serta pendengar setia kami terutamnya di Sabah.

“Namun walaupun sedang berhibur, semua pengunjung diingatkan menjaga keselamatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan sanitasi diri pada setiap masa,” katanya ketika sidang media Konsert Kupikupifm 2022, di sini, hari ini.

Mendapat sokongan Celcom
Axiata Berhad (Celcom), Lester menyatakan pihaknya menyasarkan seramai 10,000 pengunjung tempatan atau pengunjung luar sepanjang penganjuran konsert berkenaan.

“Turut mendapat sokongan penajaan syarikat penerbangan Firefly, sebanyak lima tiket penerbangan percuma disediakan sebagai cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir pada hari terbabit.

“Kita juga membawakan Singgah Kupi-Kupi, karnival makanan, “car booth sale” dan pelbagai aktiviti menarik yang bakal turut memeriahkan konsert di perkarangan KDCA bermula jam 10 pagi dan akan dibuka sepanjang hari,” katanya. – Info X