Search

Seluar dalam isteri hilang dari ampaian, suami buat laporan polis

July 22, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Kehilangan beberapa helai pakaian dalam wanita yang dijemur di luar rumah membongkar perbuatan seorang lelaki warga asing yang disyaki mencuri barangan berkenaan di Kampung Haji Matahir, di sini.

Kejadian disedari seorang lelaki berusia 47 tahun apabila mendapati beberapa helai pakaian dalam milik isterinya yang dijemur di luar rumah tiba-tiba hilang sebelum tampil membuat laporan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, laporan dibuat di Balai Polis Bombalai sebelum polis menjalankan risikan bagi mengesan individu terbabit.

“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, polis berjaya mengesan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an sebelum menahannya kira-kira jam 10.30 malam semalam.

“Suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Haji Matahir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat membawa polis ke lokasi beberapa barang kes disembunyikan sebelum menemukan pakaian dalam wanita yang dipercayai dicuri.

“Polis turut merampas sehelai baju berwarna hijau dan sebuah songkok hitam dipercayai dipakai suspek ketika melakukan perbuatan berkenaan,” katanya.

Wilynton berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman dan segera melaporkan kepada polis sekiranya mengesan individu atau perlakuan mencurigakan. – Info X