Search

Remaja maut motosikal terbabas ke dalam parit

July 28, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sendiri ke dalam parit dalam kejadian di Kampung Tinagat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu mangsa, Jaar Patilona, 16, warga asing maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 10.59 pagi.

Katanya, sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 11.12 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang dipercayai terbabas sendiri ke dalam parit.

“Terdapat seorang mangsa lelaki di lokasi dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.10 petang,” katanya. – Info X