Search

Bayi dua bulan disyaki didera, pasangan warga asing ditahan

July 28, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Sepasang warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes penderaan terhadap seorang bayi perempuan berusia dua bulan di Batu 8, Jalan Apas, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kes itu terbongkar selepas seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau membuat laporan polis berhubung kecederaan mencurigakan dialami bayi berkenaan.

Katanya, bayi itu dibawa mendapatkan rawatan oleh pasangan terbabit bersama nenek mangsa selepas mendakwa mangsa terjatuh.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati bayi berkenaan mengalami kesan lebam di dahi kiri, kesan gigitan pada pipi kanan serta bengkak di bahagian belakang kepala.

“Doktor kemudian dimaklumkan oleh nenek mangsa bahawa kecederaan itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kedua-dua suspek sebelum laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dan seorang wanita warga asing berusia 18 tahun.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan di pekarangan Hospital Tawau kira-kira jam 11.45 malam bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan penganiayaan atau penderaan terhadap kanak-kanak, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Wilynton berkata, pihaknya menghargai tindakan pantas petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya pegawai perubatan Hospital Tawau yang mengesan kecederaan mangsa dan menyalurkan maklumat kepada polis.

Katanya, kerjasama itu membolehkan tindakan segera diambil bagi memastikan keselamatan bayi terbabit.

“Polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan sedemikian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penderaan atau pengabaian kanak-kanak diminta tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – Info X