TENOM: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 134,600 batang rokok disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM167,520 dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Amboi, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 8.20 pagi yang dijalankan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom itu, seorang lelaki yang dipercayai menjaga stor berkenaan sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Suspek dipercayai meloloskan diri ke kawasan kebun getah berhampiran, manakala pemeriksaan lanjut di stor berkenaan menemukan pelbagai rokok disyaki tidak bercukai.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut di dalam stor menemukan pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai.
Katanya, antara jenama yang dirampas ialah Grow, Tex Light, Astro Blue Berry Fuze serta beberapa jenama lain.
“Kesemua rokok yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM167,520 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Amri berkata, sehingga 30 Julai lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 44 kes di bawah Akta Kastam 1967 membabitkan 30 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan mencecah RM6,208,256.66.
Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan risikan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta penyimpanan barangan tidak bercukai demi melindungi keselamatan dan kepentingan ekonomi negara. – Info X