KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengumumkan penutupan serta-merta sebuah jambatan di Kilometer 2.850, Jalan Tun Fuad Stephen bermula jam 12 tengah hari hari ini selepas pemeriksaan mendapati berlaku kerosakan struktur yang serius pada lantai konkrit jambatan berkenaan.
JKR Sabah dalam satu notis awam memaklumkan, tindakan itu diambil sebagai langkah keselamatan bagi melindungi pengguna jalan raya daripada sebarang risiko yang boleh mengancam nyawa akibat keadaan struktur jambatan yang tidak lagi selamat digunakan.
Menurut notis itu, penutupan hanya membabitkan laluan dari bandar raya Kota Kinabalu menuju ke Teluk Likas sahaja, manakala pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

JKR Sabah turut memaklumkan laluan berkenaan hanya akan dibuka semula selepas kerja pembinaan lencongan sementara disiapkan dan disahkan selamat untuk digunakan.
Sehubungan itu, orang ramai diminta merancang perjalanan lebih awal serta memberi kerjasama dengan mematuhi arahan papan tanda dan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan semua pengguna jalan raya.
JKR Sabah turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami sepanjang tempoh penutupan tersebut dan menegaskan bahawa langkah berkenaan adalah perlu bagi memastikan keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan.- Info X