Search

Pelabuhan Tawau kini dilengkapi kren dermaga baharu untuk tingkatkan kecekapan operasi

August 2, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Kecekapan operasi Pelabuhan Tawau, di sini, dijangka dapat ditingkatkan dengan adanya infrastruktur lengkap menerusi pemerolehan dua kren dermaga bernilai RM70 juta.

Penyediaan kemudahan terbaharu di pelabuhan berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika lawatannya ke Pelabuhan Tawau, di sini, pada Ahad.

Beliau menyifatkan penyediaan peralatan itu sebagai satu pelaburan strategik bagi memperkukuh infrastruktur pelabuhan di negeri ini dan menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dalam jangka panjang.

Katanya, ia mencerminkan komitmen kerajaan negeri menerusi Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) untuk memodenkan infrastruktur kritikal bagi meningkatkan kecekapan serta daya saing pelabuhan di Sabah, khususnya di Pantai Timur.

“Apabila mula beroperasi kelak, kren-kren ini dijangka meningkatkan produktiviti, kebolehpercayaan operasi dan kecekapan keseluruhan pengendalian kargo di Pelabuhan Tawau.

“Ia juga akan mempercepatkan tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta memperkukuh keupayaan pelabuhan untuk mengendalikan kapal yang lebih besar dan jumlah kargo yang semakin meningkat,” katanya pada Majlis Perasmian Kren Baharu di Pelabuhan Tawau, di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, sistem pelabuhan yang cekap dan berdaya harap amat penting dalam menyokong pertumbuhan sektor utama, khususnya industri berorientasikan eksport yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri.

Beliau yakin penaiktarafan Pelabuhan Tawau akan terus memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah, di samping meningkatkan kesalinghubungan dengan pasaran domestik dan serantau.

Ketua Menteri turut memuji Sabah Ports Sdn Bhd, Suria Capital Holdings Berhad dan semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan mereka dalam meningkatkan infrastruktur maritim negeri demi menyokong agenda pembangunan Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen jangka panjang Kumpulan Suria Capital terhadap pembangunan infrastruktur strategik.

“Pelabuhan Tawau memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan, industri serta hubungan serantau di Pantai Timur Sabah.

“Pelaburan RM70 juta ini mencerminkan komitmen kami untuk melengkapkan pelabuhan dengan infrastruktur dan peralatan yang diperlukan bagi memenuhi permintaan perdagangan pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad dan SPSB, Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata, pemerolehan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan SPSB untuk memoden dan memperkukuh Pelabuhan Tawau.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin.

Ends