SEMPORNA: Sepasang suami isteri ditahan selepas polis merampas 254.35 kilogram (kg) syabu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di daerah ini, pada 13 Julai lalu.
Rampasan dilakukan kira-kira jam 4 pagi hasil operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan IPD Kunak selepas risikan dijalankan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pemeriksaan ke atas sebuah van Toyota Hiace menemukan 24 beg pakaian yang mengandungi 254.35kg syabu.

Katanya, susulan serbuan itu, polis menahan pasangan suami isteri terbabit, manakala seorang lagi individu sedang diburu bagi membantu siasatan.
“Rampasan syabu itu dianggarkan mampu menampung sehingga 726,714 kali penggunaan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa.
“Siasatan awal juga mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk ke Sabah melalui laluan sempadan Sipitang sebelum cuba diseludup ke luar negara,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna IPD Semporna, hari ini.

Beliau berkata, bekalan dadah itu turut dipercayai mempunyai kaitan dengan kawasan Segi Tiga Emas yang membabitkan Myanmar, Thailand dan Laos.
Dalam perkembangan sama, Jauteh berkata, polis turut merampas 74.886kg dadah dalam satu lagi operasi di Jalan Tun Hamdan, Tawau, pada 12 Julai lalu.

Katanya, serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau dan IPD Kunak.
“Pemeriksaan terhadap sebuah Proton Saga menemukan empat beg berisi dadah, termasuk tiga beg sukan golf dan sebuah beg hitam.
“Empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 40 tahun turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada suspek adalah warga tempatan, manakala dua lagi bukan warganegara.
“Hasil siasatan mendapati semua suspek bekerja sendiri atau tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mereka didapati negatif dadah,” katanya.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan daripada kedua-dua operasi itu dianggarkan hampir RM18 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Jauteh berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan JSJN Sabah serta maklumat yang disalurkan orang awam.
Beliau berkata, sejak Januari hingga 30 Julai lalu, JSJN Sabah sudah melaksanakan 12 operasi Op Bayu dengan hampir empat tan dadah berjaya dirampas.
“Semua suspek bagi Op Bayu 1 hingga Op Bayu 9 sudah dituduh di mahkamah, manakala suspek yang tidak dapat didakwa dikenakan tindakan di bawah langkah pencegahan khas.
“Bagi Op Bayu 10, 11 dan 12, siasatan masih dijalankan sebelum semua suspek didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, Op Bayu 12 yang dilancarkan di Sipitang pada 30 Julai lalu turut membawa kepada rampasan tiga kilogram dadah dan penahanan tiga individu.
Katanya, PDRM Sabah akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengekang kemasukan dadah ke negeri ini. – Info X