Search

Sabah catat jumlah dagangan lebih RM100 bilion empat tahun berturut-turut

August 3, 2026

Info X Reporters

PUTRAJAYA: Prestasi perdagangan Sabah kekal mencatat angka melebihi RM100 bilion dalam tempoh empat tahun berturut-turut, meskipun mencatat penguncupan 2.1 peratus pada tahun lalu.

Jabatan Perangkaan (DOSM), dalam kenyataannya pada Isnin, berkata Sabah kekal merekodkan nilai perdagangan lebih RM100 bilion apabila mencatat jumlah dagangan sebanyak RM105.5 bilion pada 2025.

Katanya, nilai dagangan Sabah berjumlah lebih RM100 bilion sejak 2022 dengan prestasi tertinggi sebanyak RM118 bilion, diikuti RM105 bilion pada 2023, RM107.8 bilion pada 2024 dan RM105.5 bilion pada 2025.

Pencapaian itu dilaporkan DOSM menerusi penerbitan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sabah 2026 yang memaparkan statistik komprehensif meliputi nilai dan volume perdagangan luar negeri Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, mengikut rakan dagangan serta klasifikasi komoditi yang terperinci.

Dalam kenyataan sama, DOSM memaklumkan jumlah eksport Sabah pada 2025 berjumlah RM57.7 bilion, menurun 5.9 peratus berbanding RM61.3 bilion pada 2024.

Nilai import pula, katanya meningkat 2.8 peratus kepada RM47.8 bilion berbanding RM46.4 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Katanya, imbangan dagangan Sabah kekal mencatat lebihan sebanyak RM9.9 bilion, namun jatuh sebanyak 33.3 peratus berbanding RM14.9 bilion pada 2024.

“Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta penyederhanaan permintaan terhadap beberapa komoditi utama, prestasi perdagangan Sabah terus menunjukkan daya tahan yang memberangsangkan.

“Dari segi komoditi, petroleum mentah terus mendominasi eksport Sabah dengan nilai RM17.1 bilion, menyumbang 29.7 peratus kepada keseluruhan eksport Sabah, diikuti minyak kelapa sawit sebanyak RM16.8 bilion (29.2%) dan gas asli cecair sebanyak RM4.6 bilion (8.1%).

“Walaubagaimanapun, eksport petroleum mentah dan minyak kelapa sawit masing-masing merekodkan penyusutan sebanyak 19.6 peratus dan 2.9 peratus, manakala eksport gas asli cecair meningkat 2.0 peratus,” katanya.

Bagi import pula, katanya produk petroleum bertapis (RM4.8 bilion) dan baja yang dikilangkan (RM1.1 bilion) menjadi komoditi import utama Sabah pada tahun lalu.

Katanya, statistik perdagangan luar Sabah turut merangkumi transaksi perdagangan antara wilayah, iaitu dengan Semenanjung dan Sarawak, berdasarkan pergerakan fizikal barangan di pintu masuk dan keluar negeri Sabah.

Dari perspektif rakan dagangan utama, katanya Semenanjung terus menjadi rakan dagangan terbesar Sabah dengan jumlah perdagangan bernilai RM49.6 bilion, mewakili 47.1 peratus daripada keseluruhan perdagangan negeri Sabah.

“China kekal sebagai rakan dagangan kedua terbesar dengan nilai RM10.4 bilion, diikuti Thailand (RM4.4 bilion), Republik Korea (RM4.2 bilion) dan Jepun (RM4.0 bilion).

“Sementara itu, eksport Sabah ke negara-negara ASEAN berjumlah RM11.2 bilion, menurun 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut DOSM, dalam kalangan negara ASEAN, Filipina menjadi destinasi eksport utama Sabah dengan nilai RM3.9 bilion, mewakili 34.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Sabah ke rantau tersebut.

Thailand pula katanya berada di kedudukan kedua dengan nilai eksport RM3.0 bilion (26.4%), diikuti Vietnam sebanyak RM2.1 bilion (18.6%).

Sementara itu, berdasarkan sektor ekonomi, sektor perlombongan katanya kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport Sabah dengan nilai RM23.2 bilion, mewakili 40.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negeri ini.

“Sektor ini diikuti oleh sektor pertanian dengan nilai RM22.1 bilion (38.3%) dan sektor pembuatan sebanyak RM12.3 bilion (21.3%),” katanya.

Dari sudut penggunaan akhir, katanya barangan perantaraan kekal sebagai kategori import terbesar dengan nilai RM17.5 bilion, menyumbang 36.7 peratus daripada jumlah keseluruhan import Sabah.

“Kategori ini diikuti oleh barangan penggunaan sebanyak RM15.6 bilion (32.6%) dan barangan modal sebanyak RM7.3 bilion (15.3%). Import barangan penggunaan dan barangan modal masing-masing meningkat 13.2 peratus dan 9.1 peratus, manakala import barangan perantaraan menurun 5.9 peratus,” katanya. – Info X