KOTA KINABALU: Semua pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah perlu menghormati kepimpinan parti dan menghentikan polemik terbuka yang boleh menjejaskan usaha mengukuhkan gabungan itu serta mengembalikan keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Willy Leong, berkata kenyataan Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing, terhadap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, disifatkan tidak tepat ketika parti sedang berusaha memperkukuhkan organisasi dan memperkemaskan jentera.
“Setiap pemimpin berhak memberikan pandangan, namun kenyataan seperti itu tidak wajar pada saat BN Sabah sedang berusaha mengukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan rakyat.
“Perbezaan pendapat bukan satu kesalahan, tetapi ia seharusnya dibincangkan menerusi saluran parti dengan semangat muafakat, bukannya diangkat ke ruang awam sehingga membuka ruang kepada pihak luar dan lawan politik mengambil kesempatan memecah-belahkan kesatuan BN,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Willy, yang juga Naib Ketua Pemuda BN Malaysia dan Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), berkata BN Sabah ketika ini memerlukan kestabilan, perpaduan dan kepimpinan yang mampu menyatukan semua parti komponen.
Beliau berkata, kepimpinan yang telah diputuskan oleh parti perlu dihormati dan diberikan ruang untuk melaksanakan amanah tanpa diganggu polemik yang hanya merugikan gabungan itu.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkan organisasi, bukannya mencetuskan pertikaian yang boleh melemahkan parti sendiri.
“Pemimpin juga tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan kehadiran ketika musim pilihan raya kerana sumbangan mereka melangkaui tempoh berkempen,” katanya.
Beliau berkata, Arthur bukan pemimpin bermusim, sebaliknya sentiasa turun padang dan berkhidmat kepada rakyat sama ada ketika pilihan raya mahupun di luar musim politik.
“Itulah budaya perjuangan BN yang sebenar, iaitu bekerja secara konsisten dan bukannya bermusim. Komitmen seseorang pemimpin perlu dinilai berdasarkan keseluruhan khidmatnya kepada rakyat dan parti,” katanya.
Mengulas landskap politik semasa, Willy berkata semua pemimpin BN perlu mengetepikan ego serta kepentingan peribadi demi memastikan gabungan itu kekal kukuh dan diyakini rakyat.
“Rakyat tidak mahu melihat pemimpin BN saling berbalah secara terbuka. Sebaliknya, mereka mahu melihat sebuah gabungan yang bersatu, matang dan sentiasa fokus membela kepentingan rakyat.
“Marilah kita memperkukuhkan perpaduan, menghormati kepimpinan yang telah diputuskan oleh parti dan bersama-sama mengembalikan kekuatan BN Sabah. Kekuatan kita bukan terletak pada siapa yang paling lantang bersuara, tetapi pada kemampuan kita untuk bersatu, bekerja dan memberikan hasil kepada rakyat,” katanya.- Info X