KOTA KINABALU: Ekspedisi 30 Years Tribute to Trans Borneo 2026 dijangka memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi utama pelancongan pengembaraan di rantau ini, sekali gus menyokong usaha promosi sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, berkata ekspedisi merentasi daratan seperti Trans Borneo menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih autentik kepada pelancong melalui interaksi bersama komuniti tempatan, kepelbagaian budaya serta keindahan alam semula jadi Borneo.
“Pelancong pada hari ini bukan sekadar mahu melawat sesuatu destinasi, sebaliknya mereka mencari pengalaman yang lebih bermakna.
“Mereka mahu mengenali masyarakat setempat, memahami budaya yang berbeza serta mencipta kenangan yang kekal sepanjang perjalanan. Di sinilah pelancongan pengembaraan dan ekspedisi darat memainkan peranan penting,” katanya ketika melancarkan ekspedisi itu, pada Isnin.
Ekspedisi 30 Years Tribute to Trans Borneo 2026 merupakan perjalanan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4) selama 17 hari merentasi Indonesia, Malaysia dan Brunei, sekali gus mengimbau semula laluan bersejarah yang dilalui pada 1996 bagi mempromosikan pelancongan pengembaraan serantau serta pertukaran budaya.
Joniston, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, berkata pengalaman, gambar dan perkongsian peserta sepanjang ekspedisi itu akan memperkenalkan Sabah kepada masyarakat antarabangsa daripada perspektif yang berbeza.
“Ketika kita sedang membina momentum ke arah Tahun Melawat Sabah 2027, pengalaman perjalanan autentik seperti ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran serta menarik lebih ramai pelancong untuk menerokai Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan turut dijangka meningkatkan hubungan rentas sempadan antara Sabah dan Indonesia, sekali gus merancakkan sektor pelancongan.
Katanya, projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong serta jalan akses baharu yang dibangunkan di bawah Koridor Pembangunan Sabah akan menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala apabila siap kelak.
“Apabila siap, ia akan menjadi laluan sempadan darat antarabangsa kekal pertama Sabah dengan Indonesia, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Joniston berkata, Sabah juga berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, di Kalimantan Timur yang dijangka merancakkan lagi potensi Borneo sebagai destinasi pelancongan rentas sempadan.
Beliau berkata, peningkatan aksesibiliti itu bukan sahaja menggalakkan lebih ramai pelancong meneroka Borneo melalui laluan darat, malah menyokong inisiatif kesalinghubungan serantau di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) serta ASEAN.- Info X