Search

Kementerian, agensi berkaitan diarah selesai segera isu MA63

August 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Semua kementerian dan agensi berkaitan diarah memberi keutamaan terhadap penyelesaian baki isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai langkah mempercepatkan pelaksanaannya.

Arahan itu dikeluarkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, di Putrajaya, pada Isnin.

Mustapha diberi mandat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 bagi mempengerusikan mesyuarat berkenaan memandangkan Fadillah ketika ini sedang menjalani rawatan kesihatan.

Menerusi satu kenyataan, Mustapha berkata mesyuarat berkenaan meneliti status terkini pelaksanaan dan kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menjelang Mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September depan.

Katanya, selain meneliti perkembangan pelaksanaan perkara yang sudah dipersetujui di bawah MA63, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa agenda strategik yang sedang diperkemas melalui platform MTPMA63, termasuk hal berkaitan inisiatif ‘borneonisasi’ perkhidmatan awam dan usaha menutup kesenjangan perkhidmatan kesihatan serta pemerkasaan sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak.

“Pendekatan rundingan berterusan melalui jawatankuasa kerja dan jawatankuasa teknikal membuktikan banyak kemajuan dapat dicapai secara konsensus, berasaskan kepercayaan serta saling menghormati kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Dalam mesyuarat hari ini, semua kementerian dan agensi berkaitan turut diarahkan supaya memberikan keutamaan terhadap penyelesaian baki isu MA63 agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan,” katanya.

Mustapha berkata, antara perkembangan penting yang direkodkan termasuk peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026, selain kejayaan penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak pada 21 Julai 2026.

Katanya, kedua-dua pencapaian itu membuktikan pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan Madani bukan sekadar memenuhi komitmen terdahulu, malah terus berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa dan aspirasi rakyat Sabah serta Sarawak. – Info X