KOTA KINABALU: Seramai 102 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di Tawau menerima sumbangan RM300 dari Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), membabitkan jumlah keseluruhan RM30,600.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melalui Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said, pada Ahad.
Hajiji berkata sumbangan itu bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana berkenaan.
Sementara itu, Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sepanjang kejadian itu, minggu lalu.
Petugas bencana terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau serta agensi lain yang turut terbabit.
“Komitmen dan kerjasama semua pihak dalam operasi menyelamat, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) dan penyampaian bantuan telah memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara sepanjang bencana berkenaan,” katanya.
Banjir yang melanda Tawau baru-baru ini menjejaskan 102 KIR, membabitkan 362 mangsa yang terdiri daripada 217 dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi.
Mereka dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan kembali pulih. – Info X