KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) mengesahkan kejadian renjatan elektrik yang mengorbankan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Weston, Beaufort, petang tadi dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan.
Dalam kenyataan, Sabah Electricity itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM atas kehilangan tiga anggota berkenaan.
Menurut Sabah Electricity, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, pasukan teknikalnya segera digerakkan ke lokasi bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
Katanya, pihaknya turut memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan agensi berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Pada masa ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Sabah Electricity komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai serta akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan,” menurut kenyataan itu, malam ini.
Terdahulu, dalam kejadian jam 5.50 petang tadi, tiga anggota polis dari Balai Polis Weston maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penjolok besi untuk mengambil buah kelapa di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort.
Kejadian dipercayai berlaku apabila galah besi yang digunakan terkena kabel elektrik sebelum dua lagi anggota yang cuba membantu turut terkena renjatan.
Mangsa ialah anggota Balai Polis Weston, iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40; Konstabel Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26. – Info X