SEMPORNA: Dadah disyaki syabu seberat 11.06 kilogram (kg) bernilai lebih RM550,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, di sini, awal pagi semalam.
Rampasan dadah itu dibuat selepas pasukan operasi PPM Wilayah 4 Sabah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 1.45 pagi.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan berkaitan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, ketika pasukan cuba menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki yang berada di atas bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan.
“Usaha mengesan suspek kemudian dijalankan, namun lelaki terbabit gagal ditemui.
“Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 11.06 kg,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad berkata, nilai dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM550,000, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot terbabit melebihi RM578,000.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha mengesan suspek masih diteruskan.
Katanya, sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 15 kes mengikut akta berkenaan membabitkan 24 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan melebihi RM718,000.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan rondaan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X