Search

Tenaga kerja Sabah Electricity ditegah ambil butiran peribadi pengguna

August 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity menegaskan tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota kerjanya untuk berkunjung ke rumah pengguna bagi mendapatkan maklumat atau butiran peribadi tanpa urusan rasmi yang dimaklumkan terlebih dahulu.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, syarikat utiliti itu berkata penegasan berkenaan dibuat susulan terdapat kemungkinan pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai anggota kerja Sabah Electricity dan berkunjung ke kediaman pengguna dengan alasan untuk mendapatkan maklumat berkaitan akaun atau butiran peribadi.

“Sabah Electricity ingin menjelaskan bahawa pemeriksaan atau penyelenggaraan oleh anggota kerja rasmi adalah terhad kepada meter elektrik dan komponen berkaitan yang berada di luar rumah.

“Anggota kerja juga tidak diarahkan untuk memasuki rumah atau premis pengguna bagi tujuan memeriksa pendawaian elektrik dalaman tanpa urusan rasmi yang telah dimaklumkan dan disahkan.

“Anggota kerja rasmi Sabah Electricity akan memakai pakaian seragam berlogo Sabah Electricity dan membawa kad pengenalan pekerja yag sah dan pengguna berhak meminta pengesahan identiti sebelum sebarang urusan dijalankan,” katanya.

Sabah Electricity turut menegaskan anggota kerjanya tidak dibenarkan membuat kutipan bayaran tunai atau deposit secara langsung di rumah pengguna.

Kenyataan itu menyebut, sebarang bayaran berkaitan perkhidmatan elektrik hendaklah dibuat melalui saluran pembayaran rasmi yang disediakan oleh Sabah Electricity.

“Sebarang urusan berkaitan akaun dan perkhidmatan elektrik hendaklah dibuat melalui saluran rasmi syarikat iaitu berkunjung ke pejabat Sabah Electricity, menghubungi talian 15444, 088 515000 atau dengan memuat naik aplikasi mySE+.

“Sabah Electricity memandang serius perkara ini dan menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada serta tidak mudah mempercayai individu yang mendakwa sebagai wakil atau anggota kerja syarikat,” katanya. – Info X