Search

Penunggang motosikal maut bertembung lori

August 11, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori rigid di Jalan Timur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan berkenaan sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kemalangan berlaku ketika lori rigid jenis Nissan dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun dari arah Air Panas menuju ke Eastern Engineering, Jalan Timur.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis SYM yang ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan sebelum memasuki laluan lori berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Joseph Jelian ak Wilson Sigai di talian 016-806 7272 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Kerjasama daripada orang ramai amat dihargai bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya. – Info X