Search

115 pencari kerja, graduan hadiri Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs di UMS

August 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 115 pencari kerja, termasuk graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs x UMS 2026 yang diadakan di kampus universiti itu, di sini, baru-baru ini.

Karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sabah dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan Pelajar (CEDeC) UMS itu turut dihadiri Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Sabah, Salwati Abdul Karim.

Pengarah CEDeC UMS, Prof Madya Dr Sidah Idris, berkata karnival itu menjadi platform yang membuka peluang kerjaya kepada graduan dan pencari kerja menerusi sesi temu duga serta padanan pekerjaan bersama majikan.

Katanya, penganjuran karnival itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menyediakan peluang pekerjaan, latihan industri serta ruang interaksi secara langsung di antara peserta dan majikan.

“Penganjuran Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs x UMS 2026 mencerminkan komitmen berterusan PERKESO Negeri Sabah dan CEDeC UMS dalam menyediakan platform yang menghubungkan graduan dengan industri.

“Inisiatif ini sekali gus menyokong usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui peluang pekerjaan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Karnival itu, katanya disertai 12 majikan daripada pelbagai sektor yang menawarkan peluang pekerjaan serta latihan industri kepada graduan dan pencari kerja lain.

“Sepanjang karnival, seramai 107 peserta menghadiri temu duga dan seramai 17 peserta berjaya memperoleh tawaran pekerjaan, manakala 47 peserta dipanggil menghadiri temu duga peringkat kedua.

“Sementara itu, 30 peserta lagi masih dalam proses penilaian oleh majikan, manakala 13 peserta tidak berjaya,” katanya.

Selain temu duga secara walk-in, karnival itu, katanya juga menampilkan sesi Graduates Pitching yang memberi peluang kepada peserta memperkenalkan kemahiran, pengalaman dan aspirasi kerjaya mereka secara profesional di hadapan bakal majikan.

Beliau berkata, MYFutureJobs x UMS 2026 juga dapat membantu meningkatkan keyakinan diri, mengasah kemahiran komunikasi serta memberi nilai tambah kepada peserta dalam menghadapi proses pemilihan pekerjaan. – Info X